Ad

Saturday, 6 December 2014

Harimau tekad ratah Vietnam




 
PARA pemain sekadar melakukan latihan ringan semalam sebagai persiapan menghadapi Vietnam di Stadium Shah Alam malam ini.

“JIKA pemain dapat mengekalkan disiplin yang tinggi, peluang untuk meraih kemenangan adalah cerah. Apa yang lebih penting ialah pemain harus kekal fokus dan jangan mudah leka.”

Demikian tegas jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh menjelang aksi separuh akhir pertama kempen Piala AFF Suzuki menentang Vietnam di Stadium Shah Alam malam ini.

Menurut Dollah, walaupun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, tetapi mereka tetap menghormati Vietnam yang memiliki corak permainan pantas. “Peluang kedua-dua pasukan tetap sukar diramalkan kerana Vietnam dan Harimau Malaya memiliki kelebihan tersendiri. Namun bagi saya, mana-mana pasukan yang mengekalkan tahap disiplin yang tinggi sapanjang perlawanan itu nanti, peluang untuk meraih kemenangan adalah cerah.

“Hajat kami adalah untuk memburu gol awal bagi mematikan rentak permainan Vietnam dan sudah tentu mencari jaringan yang lebih selesa sebagai bekalan mengharungi aksi separuh akhir kedua di Hanoi minggu depan,” tegas Dollah yang setakat ini masih belum membuat keputusan mengenai pemain yang bakal diturunkan malam ini.

Dia juga masih belum membuat keputusan mengenai pemain yang akan menggantikan posisi Shukor Adan dan Amri Yahyah yang tidak dapat beraksi malam ini kerana terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan gara-gara menerima dua kad kuning.

“Apa pun, misi kami ialah untuk memburu kemenangan selesa,” tegasnya.

Pada kempen Piala AFF Suzuki ini yang telah diperkenalkan sejak tahun 1996, rekod Harimau Malaya ke atas Vietnam agak baik dan kali terakhir mereka menewaskan lawan mereka itu ialah pada saingan separuh akhir edisi 2010 yang menyaksikan skuad negra meraih kemenangan 2-0.

Bagaimanapun, Dollah tidak mahu rekod lalu dijadikan ukuran kerana kali ini kedua-dua pasukan tampil dengan barisan pemain yang berbeza.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan bahawa beliau optimis skuad negara mampu mengekalkan prestasi cemerlang ketika berdepan Vietnam malam ini.

"Esok (hari ini) adalah misi penting buat skuad negara untuk memusnahkan Vietnam. Kita sedar bahawa aksi pertama ini bakal menjadi menentu terhadap peluang kita untuk layak ke final.

"Lebih mustahak, kita harus mencari jaringan sekurang-kurang satu gol tanpa bolos sebagai bekalan untuk aksi kedua ke Hanoi nanti.

"Jadi, kita harus memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk mencari bekalan selesa.

"Dalam masa yang sama, saya juga mahu mengingatkan para pemain agar tidak terlalu yakin kerana bimban ia akan memakan diri sendiri.

"Yakin itu bagus tapi biar berpada-pada. Kenangan menjadi juara 2010 adalah satu kejayaan manis tetapi kita harus fokus terlebih dahulu terhadap perlawanan malam esok (malam ini),” jelas Hamidin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3LAIgCMddHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment