AIZAWATI AHMAD | 01
Disember 2014 12:41 AM
Indra Putra Mahayuddin (kiri)
melepaskan sepakan untuk menjaringkan
Indra Putra Mahayuddin (kiri)
melepaskan sepakan untuk menjaringkan gol ketiga Malaysia ketika menentang
Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala AFF 2014 di Stadium
Nasional, Singapura kelmarin. Malaysia menang 3-1. – BERNAMA
SEPANG - Indra Putra Mahayuddin
tidak menyalahkan pihak yang lantang mengkritik prestasi skuad kebangsaan pada
Piala AFF setelah sekadar mencatat keputusan seri menentang Myanmar dalam aksi
pembuka tirai dan tunduk kepada Thailand dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang
berlangsung di Singapura.
Malah, pemain sayap kebangsaan
itu tidak mahu mudah melatah kerana dia beranggapan sesiapapun berhak bersuara
dan melemparkan kritikan terhadap skuad bimbingan Dollah Salleh tersebut.
“Bagi saya mereka berhak
bersuara, apa yang penting kita kena buktikan kemampuan kita, tunjukkanlah di
dalam padang. Bagi sesiapa yang hendak bersuara kita terima sebagai cabaran
untuk meningkatkan prestasi kita.
“Itu yang penting, jangan kita
melatah dengan apa yang mereka pertikaikan,” katanya kepada pemberita sebaik
tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di
sini semalam.
Indra Putra meledakkan gol
ketiga Harimau Malaya pada minit terakhir masa kecederaan yang sekali gus
menjamin tempat skuad kebangsaan di separuh akhir Piala AFF yang dilangsungkan
secara timbal balik.
Malaysia terlebih dahulu
menerima kunjungan Vietnam Ahad ini sebelum bertandang ke laman lawan pada 11
Disember.
Ketika ditanya mengenai
pertemuan menentang Vietnam, pemain Felda United itu amat mengharapkan dia dan
rakan sepasukannya mampu mempamerkan persembahan yang lebih baik berbanding di
Singapura.
“In sya Allah, saya harap
dengan rakan-rakan sepasukan, kami dapat memberi persembahan yang lebih baik
dan semangat yang ditunjukkan perlu ada pada semua. Kemenangan ke atas
Singapura memang banyak membantu melonjakkan motivasi saya. Sekiranya diberi
peluang (bermain) saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya.
Mungkin ramai yang tidak
menyedari gol yang disempurnakan Indra Putra ketika menentang Singapura
seolah-olah mengulangi kejayaannya meledakkan gol keempat dan terakhir Malaysia
ketika membenam Singapura 4-0 pada Piala AFF 2002 yang turut dilangsungkan di
republik itu.
Pemain berusia 33 tahun itu
ketika diminta mengulas mengenai perkara itu memberitahu, gol berkenaan
adalah rezekinya dan rakan-rakan, namun dia sama sekali tidak menduga akan
mengulangi detik tersebut setelah 12 tahun berlalu.
“Cuma ketika menjaringkan gol
saya tak rasa gementar kerana apa yang saya fikirkan, penting untuk saya
hasilkan gol buat pasukan dan memastikan kita benar-benar dah selamat. Saya
rasa mana-mana pemain yang berada pada situasi berkenaan boleh melaksanakan
tanggungjawab serupa,” jelasnya dalam nada merendah diri.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-cepat-melatah-dikritik-penyokong-1.31140#sthash.ex4YHya6.dpuf
No comments:
Post a Comment