Ad

Sunday, 7 December 2014

Malaysia berdepan tugas sukar



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com. my
 
PARA penyokong melepaskan geram apabila menyalakan suar sebaik berakhirnya perlawanan antara Harimau Malaya dengan Vietnam di Stadium Shah Alam malam tadi yang berkesudahan skuad negara tewas 1-2.

MISI Harimau Malaya memburu bekalan selesa pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala AFF Suzuki 2014 tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Vietnam di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kekalahan tersebut menyukarkan misi skuad kendalian Dollah Salleh itu menghadapi aksi kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Khamis ini.

Apa yang pasti, Harimau Malaya berdepan tugas sukar apabila perlu menjaringkan dua gol tanpa balas pada aksi kedua nanti manakala Vietnam sekadar memerlukan keputusan seri bagi mengesahkan tempat ke final.

Vietnam kini memiliki kelebihan selepas memperoleh jaringan selesa di tempat lawan selain beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua nanti.

Pada aksi malam tadi, pasukan pelawat mempamerkan permainan agresif apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Harimau Malaya dan hampir memecah kebuntuan seawal minit ketiga menerusi percubaan Ngo Hoang Thinh tetapi tersasar.

Pasukan bimbingan Toshiya Miura itu terus tampil garang menerusi percubaan Le Cong Vinh ketika perlawanan berusia tujuh minit tetapi rembatan kencang kapten Vietnam itu sekadar melepasi palang gol.

Harimau Malaya yang nampak lambat panas pada perlawanan tersebut berjaya menceriakan hampir 65,000 penyokong apabila membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti Safiq Rahim.

Pengadil dari China, Ma Ning memberikan sepakan penalti kepada skuad negara selepas bola terkena tangan pemain Vietnam, Pham Thanh Luong dan bintang Johor Darul Takzim itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakannya, sekali gus menewaskan penjaga gol, Tran Nguyen Manh.

Bagaimanapun, kelebihan skuad Harimau Malaya tidak bertahan lama apabila Vo Huy Toan menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Kejayaan itu hadir apabila penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat gagal mendakap rembatan deras daripada Cong Vinh hasil dari serangan balas dan Huy Toan membuat susulan bola muntah itu dengan menolak mudah bola ke gawang skuad negara yabng sudah terbuka luas.

Bersambung di babak kedua, pasukan pelawat terus dengan rentak agresif dan pantas bagi memaksa skuad negara bertahan untuk menyelamatkan keadaan.

Ternyata, pencaturan Miura yang mengarahkan barisan pemainnya melakukan hantaran jauh sering kali berjaya menembusi benteng pertahanan negara.

Hasilnya, mereka berjaya menghukum kerapuhan benteng pertahanan Harimau Malaya menerusi jaringan Nguyen Van Quyet pada minit ke-60.

Pasukan bimbingan Miura terus selesa dominasi perlawanan dengan memberikan tekanan kepada benteng pertahanan skuad negara yang dilihat sedikit longgar tetapi Khairul Fahmi cemerlang mengagalkan setiap percubaan.

Skuad negara yang terdesak untuk mencari jaringan penyamaan, bagaimanapun terpaksa akur apabila keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3LGgK02edHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment