Ad

Sunday, 7 December 2014

PIALA AFF: Malaysia tewas kepada Vietnam



 
SHAH ALAM: Malaysia gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas kalah 2-1 kepada Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh itu berdepan laluan berliku pada aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

Beraksi di hadapan hampir 70,000 penyokong tempatan, skuad Harimau Malaya nyata bersemangat bagi memburu gol awal dan hasilnya, kapten pasukan, Safiq Rahim meletakkan Malaysia di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-14.

Pengadil, Ma Ning dari China menghadiahkan sepakan penalti tersebut selepas pertahanan Vietnam dikatakan menampan bola menggunakan tangan sewaktu pemain skuad Harimau Malaya melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan pelawat kembali menyusun rentak permainan bagi mencari gol penyamaan dan hasilnya, mereka berjaya menembusi pintu gol skuad negara menerusi Vo Huy Toan pada minit ke-32.

Gol berkenaan berpunca daripada sepakan kencang luar kotak penalti oleh Nguyen Van Quyet yang gagal ditangkap kemas penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat sebelum Huy Toan menyambar bola berkenaan bagi mengikat kedudukan.

Kedua-dua pasukan terus berusaha menambah jaringan namun keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Vietnam dilihat menguasai perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu skuad Harimau Malaya.

Kelekaan pertahanan negara yang banyak memberi ruang kepada pasukan pelawat untuk melakukan serangan nyata membawa padah apabila Van Quyet berjaya menembusi pintu gol negara pada minit ke-60.

Skuad Harimau Malaya berusaha mencari gol penyamaan namun ketumpulan jentera serangan selain kekebalan benteng pertahanan Vietnam menyaksikan keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya perlawanan itu.

Terdahulu, Filipina dan Thailand terikat tanpa jaringan pada satu lagi aksi separuh akhir pertama di Stadium Memorial Rizal, Manila, semalam.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, Rabu ini bagi mengintai slot ke final. - Bernama

Penjaring:

Malaysia: Safiq Rahim (penalti - minit ke-14)

Vietnam: Vo Huy Toan (32'), Nguyen Van Quyet (60')

Barisan Pemain Malaysia:

Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (kapten), S. Kunalan, Mohd Hafiz Kamal, Azamuddin Mohd Akil (Indra Putra Mahayuddin), Norshahrul Idlan Talaha (Abdul Manaf Mamat), Mohd Safee Mohd Sali.

Barisan Pemain Vietnam:

VIETNAM: Tran Nguyen Manh, Le Phuoc Tu, Dinh Tien Thanh, Nguyen Van Bien, Ngo Hoang Thinh, Le Cong Vinh (kapten), Nguyen Van Quyet, Que Ngoc Hai, Pham Thanh Luong (Mac Hong Quan), Vo Huy Toan (Nguyen Thanh Hien), Nguyen Huy Hung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 11:03 PM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/14481#sthash.heWkEU3j.dpuf

No comments:

Post a Comment