HARI ini, perjalanan menjejaki
sejarah perjuangan pahlawan- pahlawan Perak yang dibuang ke Pulau Seychelles di
Lautan Hindi bagi Projek Merungkai Sejarah Tengku Menteri Ngah Ibrahim telah
bermula.
Perjalanan tersebut diketuai
piut Tengku Menteri Ngah Ibrahim iaitu Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Datuk Seri Wan
Ahmad, Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama Taiping dan juga pemegang
gelaran Tengku Menteri yang kelapan.
Ia turut disertai oleh
Pensyarah Kanan, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Dr. Talib Samat dan setiausaha
projek tersebut, Hariffudin Kamarudin.
Penerbangan menggunakan pesawat
Emirates Airline tersebut akan singgah di Dubai sebelum meneruskan perjalanan
ke lapangan terbang Victoria di Pulau Mahe, ibu negeri Republik Seychelles.
Rombongan dijangka tiba sekitar jam 1.15 tengah hari, 28 Mac waktu tempatan.
Bagaimanapun, penjelajahan
mencari akar sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu Perak terutama Sultan
Abdullah dan Ngah Ibrahim di Pulau Seychelles tersebut bukanlah kali pertama
dilakukan.
Ini kerana pada 16 hingga 22
Disember 1992 sekumpulan pegawai kerajaan Perak iaitu Abdul Jamil Mat Kasa,
Datuk Seri Harussani Zakaria, Datuk Mohamed Tarmizi Tahir, Datuk Wan Mohd.
Mokhtar Mohd.Noor, Mohd.Taib Mohamed dan Mustafa Kamal Tajuddin pernah sampai
ke pulau ini.
Seperti dijelaskan oleh Talib
Samat, kumpulannya merupakan kelompok kedua menyelidik sesudah 131 tahun Ngah
Ibrahim, Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin dan 44 orang warga Perak
dibuang dan diasingkan di pulau berkenaan.
Pengasingan dan pembuangan
pahlawan-pahlawan Perak tersebut menjadikan Pulau Seychelles mempunyai erti
yang sangat besar kepada sejarah kebangkitan penentangan orang Melayu terhadap
penjajahan Inggeris.
Pulau Seychelles cukup sinonim
dengan sejarah negara khususnya negeri Perak kerana pada tahun 1877 pulau itu
menjadi tempat pembuangan 47 orang pembesar dan rakyat Perak iaitu 24 lelaki
dan 23 orang perempuan.
Mereka dihukum buang daerah
oleh penjajah Inggeris kerana dituduh terlibat dalam pakatan membunuh J.W.W
Birch, Residen Inggeris yang pertama di Perak pada 2 November 1875, katanya.
Kumpulan yang dibuang negeri ke
pulau tersebut ialah Tengku Menteri Ngah Ibrahim, Sultan Abdullah, Laksamana
Wan Muhammad Amin, Syahbandar Uda Mahamor dan pejuang-pejuang Perak yang lain,
selama lebih 17 tahun.
Menurut Talib, berdasarkan
catatan sejarah, pulau bekas jajahan Inggeris itu juga menjadi tempat
pembuangan negeri pemimpin yang menentang mereka termasuk raja Burma, Sri Lanka
dan sebagainya sejak akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20.
Tindakan pembuangan negeri ke
pulau tersebut bertujuan melemahkan dan melumpuhkan semangat perjuangan serta
mengasingkan mereka daripada para penyokong dan rakan-rakan seperjuangan
mereka.
Dalam konteks Ngah Ibrahim dan
para pembesar Perak, ia merupa salah satu tindakan Inggeris untuk melenyapkan
suara mereka selama ini yang lantang dan tegas mengkritik penjajah Inggeris
yang gilakan bijih timah dan peluasan tanah jajahan di negeri itu.
Berdasarkan catatan, pelayaran
untuk membuang para pejuang Perak ke Pulau Seychelles itu bermula pada 20 Julai
1877 menggunakan kapal Carherstone dan tiba di pulau tersebut pada Khamis, 30
Ogos tahun yang sama.
Ia bermakna pelayaran tersebut
mengambil masa sekitar sebulan menempuh ombak sebelum tiba di Pulau Seychelles
yang terletak di barat Lautan Hindi tersebut.
Dari segi geografi, Pulau
Seychelles merupakan gugusan beberapa buah pulau seperti Pulau Mahe, Pulau
Praslin, La Deque dan beratus-ratus pulau kecil.
Ia terletak berhampiran dengan
negara-negara seperti Mauritius, Maldives, Madagaskar, Selatan Benua Afrika
seperti Somalia, Tanzania, Kenya dan sebagainya.
Menurut catatan sejarah, Pulau
Praslin adalah tempat pembuangan yang dikhaskan untuk Sultan Abdullah dan para
pengikutnya sehingga membentuk komuniti Perak di sana selama tujuh tahun
sebelum baginda dibenarkan pulang ke Tanah Melayu dan Singapura pada tahun
1884.
Sementara itu pada tahun 1916
baginda dibenarkan pulang ke Kuala Kangsar, Perak hingga mangkat dan dimakamkan
di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Ngah Ibrahim, Laksamana Wan
Muhammad Amin, Syahbandar Uda Mahamor dan para pengikutnya ditempatkan di
Felicite, kira-kira 48 kilometer dari bandar Port Victoria, Pulau Mahe, salah
sebuah daratan di gugusan Pulau Seychelles.
Mereka ditempatkan di sebuah
rumah yang mempunyai tiga bilik berasingan dan menjadi orang buangan di pulau
itu sehingga 3 Januari 1889, tambah beliau.
Rayuan
Dalam pada itu, Talib berkata,
kumpulan pejuang Melayu tersebut setiap tahun mengemukakan rayuan kepada Ratu
Inggeris supaya dibenarkan pulang ke Perak tetapi tidak dipedulikan.
Hanya selepas 12 tahun dibuang,
barulah Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad Amin (bapa mentua Ngah Ibrahim)
dan Syahbandar Uda Mahamor dibenarkan kembali. Bagaimanapun mereka cuma
diperbolehkan menetap di Sarawak dan akhirnya di Singapura.
Ngah Ibrahim meninggal dunia di
pulau itu pada 4 Februari 1895 manakala bapa mentuanya, meninggal dunia pada
tahun 1908. Begitu juga Syahbandar Uda Mahamor yang turut meninggal dunia di
Singapura.
Operasi membawa pulang pusara
dan jenazah Allahyarham Ngah Ibrahim yang bersemadi di Tanah Perkuburan
Al-Juned, Singapura serta pusara dan jenazah Laksamana Wan Muhammad Amin di
Tanah Perkuburan Chua Chu Kang, diusahakan oleh pelbagai pihak pada 8 dan 9
September 2006, menggunakan kapal TLDM KD Laksamana Wan Muhammad Amin.
Jenazah dan pusara Ngah Ibrahim
disemadikan di Kompleks Sejarah Matang, Taiping yang merupakan rumah asal tokoh
tersebut, manakala Allahyarham Laksamana Wan Muhammad Amin dipindahkan ke
Perkuburan Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, bersebelahan pusara Sultan
Abdullah.
Bagaimanapun makam Syahbandar
Uda Mahamor yang juga meninggal dunia di Singapura tidak ditemui pusaranya
sehingga sekarang.
Talib berkata, Pulau Seychelles
juga juga begitu akrab dengan asal-usul dan sejarah penciptaan lagu Terang
Bulan yang dicipta oleh Sultan Abdullah sewaktu dibuang di pulau itu.
Baginda yang sering mendengar
lagu rakyat pulau berkenaan La Rosses yang dinyanyikan dalam bahasa Perancis
dan mencadangkannya menjadi lagu negeri Perak.
Al-Marhum Sultan Idris Shah
telah menjadikan lagu tersebut sebagai lagu rasmi negeri Perak dengan
bertemakan Allah Selamatkan Negeri yang telah diubahsuaikan.
Dalam pada itu, Talib berkata,
pembuangan negeri 47 orang pembesar dan rakyat Perak pada tahun 1877 itu telah
meninggalkan bukti yang cukup kukuh tentang kekejaman Inggeris terhadap
kelompok tersebut di Pulau Seychelles yang kekal hingga ke hari ini.
Rombongan pertama yang
menjejaki jalur sejarah tersebut pada 16 hingga 22 Disember 1992 berjaya
menemukan dua kubur Islam. Kedua-duanya milik dayang Sultan Abdullah yang
bernama Aliah dan Auliah yang meninggal dunia akibat demam malaria. Ia kini
terletak di kawasan perkuburan antarabangsa Pulau Mahe.
Kini, biarpun Ngah Ibrahim
telah meninggal lebih 100 tahun, kepentingan penyelidikan terhadap jasa dan
kisah perjuangan Allahyarham sangat penting - aspek yang sedang diperjuangkan
di bawah Projek Merungkai Sejarah Tengku Menteri Ngah Ibrahim.
Projek yang bermula sejak 2004
antara lain bertujuan memartabatkan Allahyarham di jiwa generasi muda rakyat
Malaysia supaya mengenali tokoh dan pahlawan negara abad ke-19.
Kunjungan ke Pulau Seychelles
adalah di antara usaha-usaha serius untuk melengkapkan penyelidikan yang
berjudul Biografi Lapan Orang Pemegang Gelaran Tengku Menteri Daripada
Keturunan Tengku Menteri Ngah Ibrahim (1836-1895) Sehingga Tahun 2006 yang di
ketuai oleh Talib sendiri. Ia dibiayai oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan
(RMC), UPSI.
Di samping itu juga, Jabatan
Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI sedang berusaha untuk mewujudkan
Kursi Warisan Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Antara lain, kursi tersebut
bertujuan memperbanyak dan mengaktifkan kerja-kerja penyelidikan tentang Ngah
Ibrahim.
Kini kami sedang menggerakkan
pelbagai usaha untuk mencari dana daripada mana-mana korporat Melayu mahupun
kerajaan tetapi masih belum berhasil dan perlu terus dipergiatkan sehingga
kewujudan kursi ini menjadi kenyataan, ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0327&sec=sastera&pg=sa_01.htm#ixzz3KecE0rCR©
Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment