Ad

Friday, 12 December 2014

Mumia remaja Mesir didedah selepas 2,500 tahun



10 Disember 2014 1:12 AM

Mumia remaja lelaki berusia 14 tahun bernama Minirdis, dibuka
Mumia remaja lelaki berusia 14 tahun bernama Minirdis, dibuka

Mumia remaja lelaki berusia 14 tahun bernama Minirdis, dibuka buat pertama kali di Muzium Field, Chicago sejak kematiannya kira-kira 2,500 tahun dahulu. – AP

NEW YORK 9 Dis. – Mumia seorang remaja lelaki Mesir dibuka buat pertama kali di Muzium Field, Chicago baru-baru ini sejak kematiannya kira-kira 2,500 tahun dahulu.

Mail Online melaporkan, mumia remaja berusia 14 tahun bernama Minirdis itu dibuka oleh pakar sejarah dan tiga saintis lain bagi tujuan pameran pada tahun depan selepas dijumpai sekitar tahun 1920-an.

Tapak kaki Minirdis yang merupakan anak kepada tukang sihir hebat Mesir merupakan antara bahagian badan remaja itu yang masih dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, akibat terlalu lama berada dalam keadaan baring, agak mustahil untuk membalut semula kain kapan bercat emas yang meliputi wajahnya yang dikuatiri boleh hancur serta merta menjadi abu jika dibuka.

Saintis diketuai J.P. Brown menggunakan pengapit dan kepingan besi untuk mencipta sejenis buaian bagi mengangkat bahagian penutup mumia itu yang rapuh.

Mumia Minirdis merupakan satu daripada 30 koleksi mumia dari Mesir yang sempurna di muzium itu.

Mumia itu perlu kekal stabil supaya boleh dibawa pada pameran di Muzium Sejarah Semula Jadi di Los Angeles pada September tahun depan sebelum dibawa ke Muzium Sains dan Semula Jadi di Denver pada 2016.

“Risiko mumia itu untuk rosak sentiasa ada,’’ kata Brown yang menjalankan kerja-kerja membuka mumia itu di makmal.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mumia-remaja-mesir-didedah-selepas-2-500-tahun-1.34606#sthash.F248yD40.dpuf

No comments:

Post a Comment