AIZAWATI AHMAD | 13
Disember 2014 1:28 AM
KUALA LUMPUR 06 DISEMBER 2014 -
Safee Sali pada sesi latihan bersama
KUALA LUMPUR - Seperti kata
pepatah Melayu ‘memulang paku buah keras’, itulah yang dilakukan penyerang
kebangsaan, Safee Sali bagi menjawab kritikan segelintir penyokong terhadap
dirinya dan juga skuad kebangsaan setelah Harimau Malaya mengesahkan tempat ke
perlawanan akhir Piala AFF.
Nampaknya pemain berusia 31
tahun itu tidak menunggu masa lama untuk membalas segala kritikan dan tohmahan
yang dilemparkan apabila dia menggunakan Twitter bagi meluahkan segala yang
terbuku dalam dadanya selama ini.
Menerusi laman sosial tersebut
Safee mengucapkan syukur kepada Ilahi di atas kejayaan skuad bimbingan Dollah
Salleh yang berjaya menewaskan Vietnam 4-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua
di Hanoi kelmarin yang sekali gus mengesahkan tempat mereka ke perlawanan akhir
Piala AFF untuk bertemu Thailand.
“Syukur ku panjat kepada
Ilahi...Alhamdulillah..semua pengorbanan berhasil dengan bangganya. Semua
cacian dan makian yang dilemparkan tak pernah masuk ke dalam hati ini.
“Perjuangan ini bukan hanya
dengan bermain guli, tapi dengan semangat cintakan keluarga pasukan (skuad
Malaysia) ini dan demi maruah negara,” katanya.
Pemain yang menyarung jersi No.
10 itu turut memuji penyokong Vietnam yang mempamerkan semangat kesukanan yang
tinggi dan tidak mudah melatah sekalipun skuad kebangsaan mereka kecundang di
tangan Malaysia.
“Penyokong pasukan Vietnam
bagus sekali... walaupun kalah tak ada bertumbuk, malah bertepuk tangan dekat
kita orang lagi,” ujarnya.
Safee turut menyindir penyokong
Malaysia yang pernah dicadangkannya sebelum ini agar menukar bendera negara,
jika tidak boleh menerima sebarang kekalahan yang menimpa skuad kebangsaan.
“Kepada penyokong yang dah
tukar bendera lepas kena sound (tegur) hari itu, jangan tutup muka tu dengan
bantal okay...lap (sapu) je muka tu dengan tisu,” katanya.
Sepanjang Piala AFF berlangsung
sejak dari peringkat kumpulan di Singapura lagi, tercetus ‘perang’ dalam media
sosial antara Safee dan segelintir penyokong skuad kebangsaan yang kurang
berpuas hati dengan persembahan Harimau Malaya.
Ekoran tidak tahan dengan
kritikan demi kritikan yang dilemparkan, Safee telah bertindak membalas segala
penghinaan yang sekali gus membangkitkan suasana kurang harmoni antara
penyerang itu dengan penyokong.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safee-sindir-pengkritik-harimau-1.35766#sthash.Aol5KqQE.dpuf
No comments:
Post a Comment