Ad

Monday, 8 December 2014

Piala AFF: Dollah kecewa benteng Harimau longlai



Oleh Mohd Nasaruddin Parzi-mnasaruddin@bh.com.my

SHAH ALAM: Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh menzahirkan rasa kecewa terhadap disiplin pemain, terutama barisan pertahanan selepas gagal mematahkan asakan Vietnam dalam perlawanan, malam ini.Pada firasatnya, kekalahan 2-1 dalam separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di gelanggang sendiri menambah tekanan buat pasukannya untuk meneruskan aksi timbal balik di Hanoi, Khamis ini.

"Ya....kita akui sedikit kelemahan dari segi disiplin pemain iaitu di barisan pertahanan, memaksa untuk pemain kita beraksi 200 peratus dalam perlawanan kedua nanti.

"Ia memang mencabar dan kita mesti melakukan sesuatu untuk menang di Vietnam," katanya pada sidang media di Stadium Shah Alam, malam ini selepas tamat perlawanan.

Baginya, secara keseluruhan kedua-dua pasukan menunjukkan aksi seimbang, namun Vietnam ternyata berjaya mencuri kelebihan jaringan.

"Vietnam boleh dikatakan bermain baik malam ini dengan beberapa serangan. Kita cuba mencari peluang gol, tapi kelebihan kepada mereka."

"Pemain jersi nombor 10 (penyerang Vietnam, Nguyen Van Quyet) agak cemerlang malam ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Vietnam, Toshiya Miura mengucapkan terima kasih kepada pemain kerana berjaya membawa bekalan sedikit selesa di tempat sendiri dalam aksi kedua nanti.

Katanya, pasukan Malaysia nyata memiliki kesungguhan tinggi terutama pada 20 minit terakhir dengan beberapa asakan berbahaya di gawang Vietnam.

"Kita bermain baik sepanjang perlawanan, namun 20 minit terakhir, Malaysia bangkit dengan serangannya agak merbahaya untuk mencipta jaringan, tapi kita berjaya (kekang)," katanya.

Bagi kapten Vietnam, Le Cong Vinh beliau memuji semangat juang ditunjukkan penyokong Harimau Malaya yang disifatkannya begitu 'friendly'.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE  7.12.14

No comments:

Post a Comment