Ad

Friday, 5 December 2014

Safiq pertajam sentuhan



Kelana Jaya: Pemain tengah Safiq Rahim memberi amaran dia masih belum beraksi di tahap sebenar meskipun dilabel antara pemain terbaik Harimau Malaya sepanjang kejohanan Piala AFF 2014 ketika ini.

Ramai penyokong lebih mengingati detik jaringan sepakan penaltinya ketika membantu Malaysia menewaskan Singapura 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan B untuk mara ke separuh akhir, namun peranan dimainkan pemain berusia 27 tahun sebenarnya lebih daripada itu.

Kecergasan Safiq, kapten skuad juara 2010 diragui sebelum kejohanan bermula, namun berjaya pulih tepat pada masa malah prestasinya semakin meningkat apabila menjadi tulang belakang jentera tengah skuad kendalian
Dollah Salleh itu.

Menurutnya, dia sentiasa berusaha meningkatkan prestasi dan percaya keberaniannya untuk mara ke depan membantu bahagian serangan membolehkan dia menjaringkan dua gol setakat ini termasuk gerakan solo ketika menentang Thailand pada perlawanan kedua kumpulan.

“Saya sentiasa belajar dalam setiap perlawanan dan berfikir bagaimana untuk tajamkan lagi sentuhan di depan gol. Mungkin tahun ini permainan saya agak matang apabila lebih berani ke depan membantu jentera serangan,” katanya.

Safiq pemain Johor Darul Ta’zim yang bergandingan dengan pemain muda Gary Steven Robbat ketika menentang Singapura dilihat sebagai calon terbaik menggalas tugas kapten selain pemain pertahanan Muslim Ahmad selepas ketiadaan Shukor Adan yang digantung perlawanan.

Namun, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu sebaliknya lebih fokus dalam usaha membantu Harimau Malaya melakar kemenangan selesa ke atas Vietnam sebelum bertandang ke Hanoi pada 11 Disember.

“Saya fikir semua pemain layak menjadi kapten pasukan, terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan. Yang penting setiap pemain perlu memberikan aksi terbaik di gelanggang sendiri,” kata Safiq.
Sumber-my Metro online 5 Disember 2014
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:45 AM

No comments:

Post a Comment