TOREK SULONG | 04
Disember 2014 1:46 AM
MAS ERMIEYATI SAMSUDIN (kanan)
bertanya sesuatu kepada mangsa samun Nur Shafiqa Lah ketika menyampaikan
sumbangan di rumah mangsa di Seri Aman 3, di Pasir Puteh, Kelantan, semalam. –
BERNAMA
PASIR PUTEH 3 Dis. – Walaupun
sukar menerima hakikat apabila melihat wajahnya kini mempunyai parut kekal,
namun Nur Syafiqa Lah tetap reda menempuh dugaan tersebut.
Malah gadis berusia 22 tahun
itu tetap bersyukur apabila tindakan nekadnya melawan penjenayah terbabit
berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rogol.
Sambil mengakui menderita
dengan situasi yang menimpa, Nur Syafiqa berkata, demi menjaga kehormatan diri,
dia terpaksa melawan penjenayah terbabit.
“Betapa sakit dan deritanya
saya ketika itu apabila muka ditoreh dengan pisau oleh penjenayah itu. Muka
saya ketika itu berlumuran darah.
“Bagaimanapun, kesakitan yang
saya tempuh itu demi mempertahan maruah serta kesucian diri. Saya bersyukur
kerana masih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas
Ermieyati Samsudin di kediamannya di Kampung Wakaf Berangan, Sri Aman di sini
hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Mas
Ermieyati turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada mangsa selain memberi
sokongan moral kepada gadis berkenaan.
Dalam kejadian Ahad lalu,
seorang gadis menempuh pengalaman ngeri apabila mukanya ditumbuk dan ditoreh
dengan sebilah pisau oleh seorang daripada dua penjenayah ketika cuba melawan suspek
yang menceroboh rumahnya di Kampung Wakaf Berangan di sini.
Tambah Nur Syafiqa, keadaan
wajah dan jari kiri serta kanannya masih berjahit dan kini dia fokus dengan
mendapat rawatan susulan.
“Kejadian yang berlaku ini
adalah detik hitam dalam hidup saya. Sehingga hari saya masih lagi trauma dan
terbayang-terbayang saat-saat ketika berhadapan de-ngan penjenayah itu.
“Sukar untuk saya lupakan. Ia
menjadi igauan ngeri dalam hidup saya. Pada masa ini saya perlu ketenangan dan
ingin memulihkan kembali semangat,” katanya.
Sementara itu, Nur Syafiqa
turut berharap penjenayah terbabit ditangkap dan dibawa segera ke muka
pengadilan.
Katanya, hukuman berat perlu
dikenakan kepada penjenayah terbabit sebelum wanita lain menjadi mangsa selepas
ini.
“Saya minta suspek itu
ditangkap segera oleh pihak polis. Hukuman yang berat perlu dikenakan sebagai
pengadilan di atas kekejaman yang dilakukan terhadap saya dan ibu.” katanya.
Dalam pada itu, Nur Syafiqa
mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah tampil memberikan
sokongan dan bantuan termasuk kesediaan pihak Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) yang mahu menyediakan pakar pembedahan plastik bagi
membantunya.
“Saya mengucapkan terima kasih
di atas keprihatinan Puteri UMNO yang sanggup menyediakan sesi kaunseling dan
HUSM pula menyediakan pakar rekonstruktif bagi membantu memulihkan muka saya,”
katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nur-syafiqa-reda-1.32405#sthash.1Y65OSnE.dpuf
No comments:
Post a Comment