Ad

Tuesday, 2 December 2014

Semua pemain layak ganti Shukor, Amri



03 Disember 2014 1:12 AM
SHAH ALAM – Pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh menyifatkan semua pemain di dalam pasukan itu layak untuk mengisi kekoso­ngan yang ditinggalkan Shukor Adan dan Amri Yahyah bagi pertemuan menentang Vietnam pada separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Shah Alam Ahad ini.

Kedua-dua pemain itu tidak dapat beraksi akibat digantung perlawanan selepas memungut dua kad kuning pada saingan peringkat kumpulan sekali gus terlepas aksi separuh akhir pertama.

Dollah berkata, dia tidak kisah siapa yang bakal mengisi dua kekosongan yang ditinggalkan kerana semua pemain di bangku simpanan layak untuk beraksi tetapi perlu menunjukkan kesungguhan semasa sesi latihan bagi memikat hatinya.

“Hari ini (semalam) kita tidak boleh buat penilaian kerana pemain kelihatan sedikit penat dan saya tamatkan latihan lebih awal. Mungkin esok atau lusa baru boleh te­ngok balik siapa yang layak.

“Semua layak, Indra (Putra Mahyuddin), S. Kunanlan, Manaf (Mamat) boleh dimasukkan tetapi mereka kena buktikan kemampuan mereka semasa sesi latihan,” katanya.

Dia juga tidak gusar dengan pemi­li­han kapten bagi menggantikan Shukor kerana terdapat beberapa calon yang boleh menggalas tanggungjawab itu.

“Safiq (Rahim) boleh, Muslim (Ahmad) boleh. Muslim memang saya perlukan di bahagian pertahanan kerana dia boleh mainkan peranan seperti Shukor,” katanya.

Sementara itu, Dollah berkata, dia sudah mendapat laporan daripada Datuk Ong Kim Swee berhubung Vietnam setelah pengendali Harimau Muda A itu dihantar ke Hanoi untuk meninjau prestasi pasukan dalam Kumpulan A, termasuk me­ngenal pasti segala kekuatan serta kelemahan juara 2008 itu.

Katanya, dia akan menilai secara terperinci maklumat yang diberikan Kim Swee bagi mencari strategi terbaik untuk berdepan saingan pasukan itu hujung minggu ini.

“Sebelum ini kita ada perlawanan persahabatan dengan mereka, sedikit sebanyak saya juga tahu apa yang perlu dilakukan bagi mengekang asakan yang bakal ditampilkan mereka selepas ini.

“Kita juga akan berhati-hati dengan pemain No. 10 (Van Quyet Nguyen) dan juga No. 19 (Luong Thanh Pham) kerana mereka merupakan pemain yang sangat berbahaya, Datuk Ong ada bagi tahu saya mengenai pemain ini,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/semua-pemain-layak-ganti-shukor-amri-1.31981#sthash.rE2mSa3w.dpuf

No comments:

Post a Comment