FADHILUL IZMEL ISHAK | 14
Disember 2014 1:24 AM
PEMAIN pertahanan Harimau
Malaya, Mohd. Hafiz Kamal (kiri) berbual dengan dua penjaga gol Mohd. Farizal
Marlias dan Khairul Fahmi Che Mat (kanan) ketika membersihkan masing-masing
kasut selepas menamatkan sesi latihan bagi persiapan untuk perlawanan akhir pertama
Piala AFF 2014 menentang Thailand Rabu ini, di Wisma FAM, Petaling Jaya
semalam. – mingguan/Abdul Razak Latif
PETALING JAYA - Selepas
mempamerkan aksi cemerlang ketika menumpaskan Vietnam 4-2 pada perlawanan
separuh akhir kedua di Hanoi, pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh
berkemungkinan besar menurunkan kesebelasan utama yang sama untuk berdepan
Thailand di Bangkok dalam perlawanan akhir Piala AFF.
Dengan menyenaraikan ramai
pemain-pemain senior ketika bertemu Vietnam, formula itu mungkin merupakan
ramuan magis yang diperlukan dan ini mungkin mempengaruhi Dollah untuk
melakukan perkara yang sama.
“Sehingga kini, strategi yang
digunakan pada perlawanan tersebut dilihat serasi dengan kesebelasan utama.
Ini membuatkan saya berfikir untuk mengekalkannya.
“Bagi saya, untuk menukar
pemain masih tiada dalam perancangan saya, malah kemungkinan besar kita akan
memulakan permainan menentang Thailand dengan kesebelasan utama tempoh hari,”
katanya ketika ditemui semasa sesi latihan skuad negara di Wisma FAM di sini
semalam.
Di Hanoi, Dollah menggunakan
formasi 4-4-1-1 dan meletakkan Norshahrul Idlan Talaha bergandingan bersama
Indra Putra Mahayuddin di bahagian serangan.
Di barisan tengah, Dollah buat
pertama kalinya memasukkan Mohd. Badhri Radzi yang membantu pasukan negara
menjaringkan dua daripada empat gol.
Bagi menghadapi Thailand pada
perlawanan final pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok Rabu depan, Dollah
tidak mahu kelekaan berlaku dalam kalangan pemain dan berharap mereka dapat
mengekalkan prestasi.
“Kita tidak boleh memberikan
peluang kepada Thailand untuk mendominasi permainan sebaliknya kita perlu bijak
mengawalnya. Kelekaan perlu dielakkan agar aksi skuad negara tidak terencat
nanti.
“Saya juga berharap pemain
tidak memberi peluang kepada pihak lawan dan elak daripada melakukan kesilapan
kerana skuad Gajah Perang nyata jauh berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.
Tambah Dollah, mood serta
keyakinan dalam kalangan pemain jelas kelihatan, malah mereka sudah bersedia
untuk memikul tugas getir tersebut.
“Baguslah pemain semuanya kekal
positif malah mereka kelihatan mempunyai keyakinan tinggi untuk melakar
kejayaan dengan membawa pulang Piala AFF,” katanya.
Malaysia akan berlepas ke
Bangkok hari ini bagi membalas dendam kalah kepada Thailand 3-2 pada penghujung
perlawanan di peringkat kumpulan di Singapura.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-kalahkan-vietnam-dikekal-1.36078#sthash.JiFXqsXK.dpuf
No comments:
Post a Comment