Ad

Saturday, 13 December 2014

Taring Indra


Hanoi: Kudratnya bersama skuad Harimau Malaya diragui namun segala-galanya terbukti kelmarin bahawa penyerang veteran Indra Putra Mahayuddin masih berbisa di pentas antarabangsa apabila menjadi antara tonggak kejayaan membenam Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua Piala AFF di Hanoi.
Pemain berusia 33 tahun itu diberikan kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama, menggantikan Mohd Safee Sali yang mengalami kecederaan pangkal paha pada saat akhir dan dia mengambil kesempatan itu dengan penuh bergaya.
Walaupun Indra tidak menjaringkan gol menarik seperti ketika menyumbat gol ketiga dari jarak jauh menentang Singapura pada aksi kumpulan, namun pemain FELDA United itu mencuri tumpuan di depan 40,000 penyokong Vietnam di Stadium Nasional My Dinh.
Larian pertamanya dalam kotak penalti menghadiahkan sepakan penalti buat skuad Dollah Salleh pada minit kedua manakala hantaran lintangnya dari sebelah kiri ditampan masuk pertahanan tuan rumah Din Tien Thanh pada minit ke-29.
Bagi Indra, ia kejayaan cukup manis buat dirinya di pentas antarabangsa selepas beberapa tahun tidak beraksi sehinggalah dipanggil semula Dollah pada perlawanan persahabatan dengan Indonesia 14 September lalu.
“Bagi saya kejayaan ini kerjasama berpasukan dan semangat juang tinggi semua pemain.
“Pada separuh masa pertama kami memberikan aksi terbaik mungkin pada babak kedua rentak kami berubah, tapi yang penting kami ke final. Ini kejayaan buat rakyat Malaysia yang mengkritik kami tapi segala kritikan itu diambil dengan baik,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.
Indra yang sudah mengumpul 16 gol dalam 48 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak 2002 nyata tidak sabar berdepan Thailand bagi aksi final timbal balik di Bangkok Rabu ini dan Shah Alam, Sabtu.
Dia tidak pernah merasai pengalaman beraksi di final Piala AFF apabila tidak berada dalam skuad juara 2010 dan tidak mahu peluang terbaik kali ini terlepas begitu saja.
“Ini final yang cukup bermakna bagi saya di pentas antarabangsa dan saya harap kami boleh berikan aksi terbaik,” kata Indra.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:13 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/15880#sthash.BkYLH5nU.dpuf

No comments:

Post a Comment