Ad

Wednesday, 3 December 2014

Enggan lepas peluang ke final



Sepang: “Tidak akan lepaskan peluang ke pentas final”.

Itu laungan semangat dilontarkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin selepas menyaksikan kemaraan Harimau Malaya ke pentas separuh akhir Piala AFF 2014 malam kelmarin.

Hamidin yang juga penolong pengurus skuad negara berada di Stadium Nasional di Kallang untuk meniup semangat anak buahnya dan Harimau Malaya menewaskan Singapura 3-1 bagi memastikan Malaysia mara sebagai empat pasukan terakhir untuk tiga edisi berturut-turut.

“Kejayaan ini komitmen semua pihak iaitu pengurusan, jurulatih dan pemain. Kita seharusnya menang ketika menentang Myanmar dan seri menentang Thailand, namun akhirnya pemain mencapai kemuncak semalam (kelmarin). Kemenangan yang manis kerana bukan mudah menewaskan juara bertahan di stadium baru mereka,” katanya.

Hanya kemenangan di Stadium Nasional mampu menjamin kemaraan anak buah Dollah Salleh dan akhirnya impian itu menjadi realiti menerusi dua gol lewat Safiq Rahim dan Indra Putra Mahayuddin untuk melengkapkan jaringan awal Safee Sali.

Hamidin berkata, perbincangan membabitkan ketua jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee bersama-sama Dollah akan diadakan esok bagi mengenal pasti perancangan terbaik menentang Vietnam dalam dua aksi timbal balik itu.

Mengenai gelanggang separuh akhir pertama pada Ahad ini, Hamidin berkata, pihaknya akan membuat keputusan hari ini sama ada mengekalkan perlawanan di Stadium Shah Alam atau beralih ke Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya menepati kriteria ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:02 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/13146#sthash.agzUCKpf.dpuf

No comments:

Post a Comment