Ad

Wednesday, 3 December 2014

Safee idam ulang sejarah 2010


Shah Alam: Jika kejayaan Piala AFF 2010 mahu dijadikan pemangkin semangat Harimau Malaya, sudah pasti sandaran untuk mengulanginya terletak di bahu penyerang Safee Sali (gambar).
Pada edisi empat tahun lalu, Safee yang tenggelam pada aksi peringkat kumpulan mula mempamerkan sentuhan dengan ledakan lima gol untuk membawa Malaysia ke final sebelum muncul juara buat kali pertama sejak 1996.
Malah pertemuan dengan Vietnam pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Ahad ini pasti mengimbau kembali kebangkitan Safee yang menjaringkan dua gol pada 2010 untuk Malaysia menang 2-0 ke atas pasukan juara 2008 itu di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum seri 0-0 di Hanoi.
Namun Safee, 30, yang mencetuskan inspirasi kemenangan skuad Dollah Salleh ke atas Singapura, Sabtu lalu untuk melepasi halangan Kumpulan B bersama Thailand tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan silam itu.
“Tahun 2010 satu kejayaan tapi 2014, perjalanan baru. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan menang di tempat sendiri. Motivasi semua pemain sekarang berada di tahap terbaik selepas menang di Singapura dan diharap permainan kami akan terus meningkat,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Shah Alam semalam.

Bagaimanapun Safee yang menutup kritikan terhadap prestasi hambarnya dengan gol pembukaan ke atas Singapura mengakui perlu berusaha keras untuk meningkatkan tahap kecergasannya.
“Saya belum cergas sepenuhnya dalam dua perlawanan sebelum ini. Saya tidak dapat beraksi 90 minit dan harap kelemahan ini dapat diatasi sebelum menentang Vietnam,” kata bintang Johor Darul Ta’zim itu.
Safee terlepas daripada sebarang hukuman keras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu gambar dia menghisap rokok di salah sebuah restoran di Singapura apabila badan induk itu hanya memberikan amaran keras kepadanya.
“Itu hanyalah provokasi dari pihak Singapura, saya tidak boleh buat apa-apa. Perkara ini sudah berlalu dan saya membuktikan kemampuan dengan menjaringkan gol dan kami berjaya menewaskan mereka,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:06 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/13593#sthash.GzB8mzPv.dpuf

No comments:

Post a Comment