Ad

Saturday, 6 December 2014

Gandingan dua ‘S’ sedia gempur



MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  07 Disember 2014 1:28 AM
PETALING JAYA - Kem Harimau Malaya di­selubungi keyakinan tinggi pada sesi latihan terakhir untuk berdepan Vietnam apabila gandingan dua ‘S’, Safiq Rahim dan Safee Sali melaungkan keyakinan mereka mampu menjinakkan anak-anak buah Toshiya Miura di hadapan 70,000 penyokong negara di Stadium Shah Alam malam ini.

Bukan mereka mahu bercakap besar atau terlalu ya­kin namun Safiq, yang dijangka memikul pera­nan selaku ketua pasukan sementara ketiadaan Shukor Adan, berasakan skuad Vietnam pada 2010 sebenarnya lebih kuat jika hendak dibandingkan dengan pasukan bagi edisi kali ini.

Tegasnya, situasi itu merupakan motivasi ter­baik kepada dia dan rakan-rakannya untuk memburu bekalan selesa atau setidak-tidaknya mengulangi sejarah sama pada empat tahun lalu apabila menang 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, dengan Safee menjaringkan kedua-dua gol.

“Jika hendak dibandingkan, saya rasa skuad mereka pada 2010 lebih kuat daripada pasukan yang kami akan tentang esok (hari ini).

“Bagaimanapun, itu bukan bermakna kami semua boleh beraksi sambil lewa sebaliknya kami perlu ber­ada di tahap terbaik jika mengimpikan kemena­ngan selesa ke atas Viet­nam atau mengulangi kemenangan 2-0 seperti dulu,” katanya yang ditemui selepas sesi latihan Harimau Malaya di pada Wisma FAM semalam.

Nada sama disuarakan oleh penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee yang melihat wujud kelemahan ketara di bahagian pertahanan Vietnam selepas tiga perlawanan Kumpulan A di Hanoi.

“Kami telah mengkaji sedalam-dalamnya corak permainan Vietnam dan mereka ada satu kekura­ngan di bahagian pertahanan, jadi kami memang ada peluang bagi mendapatkan gol.

“Jika kami bermain baik, saya yakin peluang akan datang. Saya tidak memikirkan sangat berapa banyak jaringan yang kita mahukan tetapi saya semakin tidak sabar untuk berdepan Vietnam,” katanya.

Pemain tengah Safiq telah menjaringkan dua gol manakala Safee satu ketika persaingan di peringkat Kumpulan B di Si­ngapura.

Dalam perlawanan malam ini, kemungkinan besar S. Kunanlan bakal mengisi posisi Amri Yahyah di sayap kiri sementara Mohd. Fadhli Shas dijangka berganding dengan Mohd. Muslim Ahmad sebagai pertahanan tengah.

Sementara itu, orang paling tertekan menjelang perlawanan separuh akhir malam ini sudah tentunya jurulatih Dollah Salleh yang mengakui semakin tidak lena tidur kerana memikirkan strategi ampuh untuk merobohkan keegoan Vietnam nanti.

Bagaimanapun, dia tidak mahu berkongsi tekanan itu de­ngan anak-anak buahnya.

“Dua ke tiga malam ini saya selalu meluangkan masa bersama kawan-kawan bagi mendapatkan ketenangan dan dalam masa sama turut memikirkan strategi terbaik menyekat pihak lawan.

“Untuk mengatakan saya terlalu tertekan tidak juga, tekanan bukanlah satu masalah besar. Cuma saya mahu berasa lebih tenang menje­lang perlawanan dengan Vietnam nanti.

“Hari ini, secara keseluruhan, saya dan pemain-pemain telah bersedia untuk menghadapi Vietnam. Segala percaturan taktikal serta siapa dalam kesebelasan utama sudah ada dalam kepala,” katanya.

Sementara itu Vietnam terus menutup pintu kepada pihak media tempatan.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gandingan-dua-8216-s-8217-sedia-gempur-1.33407#sthash.dxASHFWq.dpuf

No comments:

Post a Comment