07 Disember 2014 1:28 AM
PEMAIN Newcastle United, Moussa
Sissoko (kiri) dan Jack Colback
PEMAIN Newcastle United, Moussa
Sissoko (kiri) dan Jack Colback (kanan) meraikan Papiss Cisse (tengah) selepas
dia menjaringkan gol pertama pasukan mereka dalam perlawanan menentang Chelsea
di Newcastle-Upon-Tyne semalam. –AFP
LONDON – Papiss Cisse menjaringkan
dua gol untuk membantu Newcastle United mencipta kejutan apabila menewaskan
Chelsea 2-1 di St. James Park semalam untuk meleburkan rekod tanpa kalah
pasukan dari London itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, sekali gus
gagal mengulangi pencapaian tanpa kalah sepanjang musim yang pernah dilakukan
Arsenal.
Keputusan itu juga bermakna
rekod tanpa kalah Chelsea dalam 24 perlawanan sejak April lalu juga berkecai
manakala kemenangan itu merupakan yang ketiga berturut-turut Newcastle ke atas
The Blues di tempat sendiri.
Kemenangan manis yang dicapai
oleh anak-anak buah Alan Pardew itu dilakukan dengan sepuluh pemain pada
sembilan minit terakhir permainan masa sebenar dan enam minit waktu kecederaan.
Orang yang bertanggungjawab
menconteng arang ke muka pengurus Chelsea, Jose Mourinho ialah penyerang dari
Senegal, Cisse yang menjaringkan gol pada minit ke-57 dan 78.
Cisse berjaya menghukum
kelalaian pertahanan Chelsea, Gary Cahill menerusi rembatan kencang yang
menewaskan Thibaut Courtois, 12 minit selepas babak kedua bermula dan dia
sekali lagi mudah menolak bola ke dalam pintu gol Chelsea selepas menerima
hantaran Moussa Sissoko dari sebelah kiri.
Newcastle kemudian kehilangan
Steven Taylor apabila dia menerima kad kuning kedua pada minit ke-81 dan ketiadaan
pemain pertahanan itu membuka ruang buat Chelsea mempertingkatkan asakan.
Didier Drogba yang dimasukkan
sebagai pemain gantian kepada Willian segera memberi impak apabila menjaringkan
gol pada minit ke-83 untuk memberi sedikit harapan buat Chelsea tetapi
Newcastle kental bertahan bagi memastikan The Blues merasai keperitan kekalahan
buat kali pertama selepas 14 perlawanan liga musim ini.
Kekalahan itu bermakna Chelsea
terlepas peluang menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Manchester City dengan
kelebihan sembilan mata dan The Citizens kini berpeluang merapatkan jurang jika
mampu mengatasi Everton. – AGENSI
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/newcastle-lebur-8232-rekod-bersih-chelsea-1.33403#sthash.LTbIFijI.dpuf
No comments:
Post a Comment