Rozaimi (depan) meraikan gol
pertama negara menentang Brunei di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw, semalam.
NAY PYI TAW - Jurulatih Harimau
Muda, Datuk Ong Kim Swee boleh disifatkan sebagai individu paling tidak gembira
selepas melihat skuad kendaliannya sekadar menang 2-0 ke atas Brunei pada
perlawanan pertama Kumpulan A Sukan SEA Myanmar.
Perkara yang paling membuatkan
Kim Swee berasa geram adalah melihatkan ketumpulan penyudah anak-anak buahnya
yang bagaikan gementar setiap kali berada di hadapan pintu gol.
Bagaimanapun, beliau mengakui
masih boleh menarik nafas lega kerana tiga mata berjaya digenggam pada perlawanan
pertama sekali gus memastikan kempen negara pada acara bola sepak masih
berjalan dengan lancar.
''Terus-terang saya memang
tidak gembira dengan persembahan kita, walaupun berjaya mencipta banyak peluang
namun gagal menyempurnakannya.
''Kegagalan kita memanfaatkan
peluang secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada lawan untuk
melancarkan serangan.
''Kita perlu memperbaiki
kelemahan kita pada perlawanan akan datang terutama di bahagian sayap dan
serangan.
''Bukan sekadar Izzaq Faris
(Ramlan), tetapi beberapa pemain lain seperti Thamil Arasu, Rozaimi dan Irfan
Fazail juga gagal menyudahkan peluang," katanya pada sidang akhbar selepas
perlawanan, semalam.
Tambah Kim Swee, Brunei juga
beraksi sebagai satu pasukan yang bagus, malahan beberapa serangan balas yang
mereka lakukan hampir memerangkap pasukannya.
''Semasa mereka bertahan dan
berpeluang melakukan serangan balas, mereka memang sebuah pasukan yang nampak
berbahaya.
''Mujur kita mampu bertahan
dengan baik di samping lawan gagal menyempurnakan peluang yang ada,"
katanya.
Sementara itu, jurulatih
Brunei, Kwon Oh Soon, mengakui sedikit terkejut melihat cara permainan pasukan
Malaysia.
''Setahu saya Malaysia adalah
sebuah pasukan yang bagus dan pernah menyaksikan cara anda bermain.
''Cuma pada hari ini saya
nampak persembahan mereka tidak begitu menjadi dan kesempatan itu diambil oleh
para pemain saya," katanya.
Jangkaan awal untuk Malaysia
menang dengan jaringan besar ternyata meleset apabila hanya dua gol mampu
dicipta melalui Mohd. Rozaimi Abd. Rahman, pada minit ke-30 dan Ashri Chucu
pada minit ke-70. - Utusan
Sumber rujukan:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131211/su_01/Kim-Swee-geram#ixzz2n7HYG4ev
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment