ASHRI (kanan) menjaringkan gol
kedua Harimau Muda pada aksi menentang Brunei semalam.
NAY PYI TAW, Myanmar - Masih
mencari rentak. Demikian situasi yang berlaku dengan skuad bola sepak Harimau
Muda ketika menewaskan Brunei 2-0 pada aksi sulung Kumpulan A di Stadium Zeyyer
Thiri semalam.
Selain ketumpulan jentera
serangan, kurang persefahaman antara pemain juga menghalang skuad bimbingan
Datuk Ong Kim Swee itu menyamai pencapaian Vietnam yang membelasah Brunei 7-0
pada aksi sulung, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Kim Swee tetap
berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya itu.
"Sukar untuk bermain pada
perlawanan pertama berbanding Brunei yang beraksi buat kali kedua. Pasukan
lawan bertahan dengan baik dan sesekali melakukan serangan balas yang pantas
untuk mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad negara.
"Perasaan terlalu yakin
untuk menjaringkan gol turut menjejaskan rentak permainan skuad negara. Kami
berjaya mencipta banyak peluang tetapi gagal menyempurnakan semua peluang itu.
"Benteng pertahanan kami
tidak begitu lemah tetapi serangan balas pantas yang dilakukan jentera serangan
lawan menyebabkan mereka hilang fokus seketika," kata Kim Swee selepas
perlawanan semalam.
Pada aksi tersebut, skuad
negara terpaksa menunggu sehingga minit ke-30 untuk mendapatkan gol pembukaan
menerusi jaringan Md. Rozaimi Abd. Rahman.
Jaringan itu tidak mematahkan
semangat para pemain Brunei untuk memburu gol penyamaan dan peluang terbaik
mereka hadir menerusi Mohd. Azwan Ali Rahman pada minit ke-39 dan 44.
Namun, kecemerlangan penjaga
gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan berjaya menyelamatkan pintu gol Harimau Muda
daripada dibolosi.
Pada aksi babak kedua, Brunei
menampilkan aksi yang lebih pantas dan beberapa kali berjaya menembusi benteng
pertahanan skuad negara sebelum dikejutkan dengan gol kedua hasil jaringan
cantik Ashri Chuchu yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti.
Kim Swee berkata, beliau masih
mencari formasi terbaik dan yakin skuad negara akan menampilkan persembahan
yang lebih bertenaga pada perlawanan kedua menentang Laos, Jumaat ini.
Sementara itu, jurulatih
Brunei, Kwon Oh Soon tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya
meskipun tumpas kepada Harimau Muda semalam.
Oh Soon berkata, meskipun anak-
anak buahnya mempersiakan-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol, mereka
melakukan tugas dengan baik sepanjang perlawanan itu.
"Rata-rata pemain kami
masih muda. Lima orang daripada mereka baru berusia 17 tahun. Kami tidak kecewa
dengan kekalahan ini kerana ia banyak memberikan pengajaran kepada mereka.
"Pasukan ini baru dibentuk
dan kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berlatih bagi menghadapi
temasya ini," katanya.
Ketika ditanya mengenai
persembahan Harimau Muda, Oh Soon berkata, Malaysia merupakan sebuah pasukan
yang hebat dan mampu mempertahankan pingat emas.
RUJUKAN:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2nAsimA17
No comments:
Post a Comment