Oleh AIZAWATI AHMAD-aizawati.ahmad@utusan.com.my
pemain-pemain Malaysia mengasak
kubu England dalam saingan Kumpulan D Piala Dunia Remaja di Delhi, semalam.
KUALA LUMPUR - Malaysia
mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan setelah menumbangkan England 4-2
dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Dunia Remaja di Stadium Nasional
Major Dhyan Chand, New Delhi, India, semalam.
Sekalipun telah menempah laluan
ke suku akhir lebih awal, skuad bimbingan jurulatih Muhammad Dharma Raj
Abdullah itu tetap turun untuk memburu misi kemenangan bagi mengekalkan rekod
bersih tanpa kalah dalam saingan kumpulan.
Berbekalkan dua kemenangan pada
perlawanan terdahulu, barisan pemain remaja negara mempamerkan permainan yang
cukup menyakinkan untuk mendominasi aksi babak pertama menerusi serangan
bertali arus ke dalam kawasan England.
Usaha keras mereka itu akhirnya
membuahkan hasil apabila gol sulung Malaysia berjaya dijelmakan menerusi Mohd.
Zulhairi Hashim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-15
untuk menewaskan penjaga gol England, Harry Gibson.
Jaringan kedua skuad remaja
negara menyusul 11 minit berikut, apabila penyerang, Firhan Ashari berjaya
melakukan tindakan penyudah yang kemas melalui gol padang bagi meletakkan
kedudukan Malaysia mendahului dengan kedudukan 2-0.
Bagaimanapun, England tidak
mudah berputus asa apabila berjaya merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut
penalti yang dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Luke Taylor pada minit ke-31.
Kedudukan kekal 2-1 sehingga
separuh masa pertama berakhir.
Sebaik babak kedua bermula,
England yang terdesak untuk mencari mata penuh dalam perlawanan tersebut
memperkemaskan corak permainan bagi memburu gol penyamaan.
Namun, malangnya keasyikan
mereka menggempur kubu Malaysia membawa padah setelah sekali lagi benteng
pertahanan England bolos dan kali ini, giliran Muhammad Rashid Baharom
menyempurnakan gol padang pada minit ke-44 bagi melebarkan kedudukan kepada
3-1.
Kapten, Fitri Saari memastikan
pasukan kebangsaan berada dalam kedudukan selesa apabila dia yang melakukan
gerakan solo berjaya merembat bola ke gawang untuk gol keempat pada minit
ke-57.
England memperoleh gol kedua
hasil pukulan sudut penalti yang diambil oleh Phil Roper untuk menjadikan
kedudukan 4-2 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat permainan.
Muhammad Dharma berkata, dia
sama sekali tidak menduga anak-anak buahnya berjaya mencatat tiga kemenangan
berturut-turut dalam saingan kumpulan.
"Saya gembira dengan aksi
para pemain saya. Saingan di suku akhir yang menanti mereka pasti lebih getir
kerana lawan yang bakal kami jumpa terdiri daripada pasukan yang hebat,
manakala Malaysia hanya pasukan kerdil yang berjaya melangkah sehingga ke tahap
ini," katanya.
Sebagai juara kumpulan,
Malaysia bakal bertemu naib juara Kumpulan C iaitu sama ada pasukan India atau
pun Korea Selatan yang akan menentukan peluang mereka ke suku akhir pada hari
ini.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131210/su_08/Kita-benam-England#ixzz2nAnnUToS
© Utusan Melayu (M) Bhd
RUJUKAN :UTUSAN ONLINE 11.12.13
No comments:
Post a Comment